Kecerdikan Puspawangi terserlah apabila “Tok Janggut” memintanya untuk memasakkan makanan yang di dalam uncang yang dibawanya. Berbeza dengan perempuan-perempuan yang pernah ditemuinya sebelum ini,semuanya enggan memasak uncang yang dibawa “Tok janggut” kerana uncangnya bercampur aduk. Ada juga diantara mereka yang mengatakan bahawa “Tok Janggut” ini gila dan enggan memasakkan uncangnya. Tetapi puspawangi pula sebaliknya, beliau tidak terus mengatakan “Tok Janggut” ini gila kerana mencampur adukkan makanan di dalam uncangnya. Sebaliknya mengatakan yang “Tok Janggut” ini adalah seorang yang bijaksana. Mengapa puspawangi berkata demikian? Kerana puspawangi tahu bahawa “Tok Janggut” itu bukanlah sembarangan orang. Beliau ialah Tun Nila Utama dari Pura Cendana. Jadi masakan seorang lelaki yang sebegini dikatakan gila? Sebaliknya Puspawangi bersangka baik dan menyangka pasti ada muslihat di sebaliknya. Walaupun kerja-kerja mengasingkan makanan yang bercampur aduk di dalam uncang itu adalah sesuatu yang menyusahkan seperti kata ibunya Puspawangi sendiri,tetapi Puspawangi tetap tidak mahu menyerah dan berusaha walaupun payah mengasingkan makanan atau bahan-bahan tersebut kerana beliau yakin pasti ada “udang di sebalik batu”.
Dan akhirnya tepat sekali sangkaan Puspawangi. Sebenarnya “Tok janggut” atau Tun Nila sedang mencari perbezaan di antara perempuan dan betina. Maka beruntunglah Puspawangi kerana dapat bersuamikan seorang Putera raja.
Tetapi pasti kita hairan mengapakah Tun Nila menggunakan uncang yang bercampur aduk sebagai kayu ukur di antara perempuan dan betina? Kerana dari situ dapat beliau bezakan antara perempuan dan betina kerana Betina apabila melihat uncang tersebut yang bercampur aduk akan terus mengatakan pasti tuan punya uncang ini gila atau bodoh kerana mencampurkan bahan-bahan di dalam uncangnya tanpa berfikir panjang. Ditambah pula dengan sikap betina yang tidak mahu mengotorkan tangan dan berpenat lelah menyusahkan diri sendiri mengasingkan bahan-bahan di dalam uncang tersebut. Manakala Perempuan pula apabila melihat uncang tersebut tidak terus mengatakan tuan punya uncang ini gila,sebaliknya akan berfikir dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan. Dan juga sifat bersangka baik,tidak mudah putus asa dan tidak malas adalah sifat-sifat sebenar seorang yang bergelar Perempuan.
Dari filem ini dapat kita muhasabah balik tentang diri kita adakah kita seorang perempuan atau betina? Adakah kita seperti betina yang mudah berprasangka buruk,malas,tidak berfikir panjang dan tidak mahu berusaha? Atau kita seperti perempuan, yang tidak cepat bersangka buruk,tidak malas,tetap berusaha walaupun tidak tahu akan apa hasilnya yang bakal kita perolehi samada ianya buruk atau baik bagi kita dan sentiasa berfikir sebelum membuat sesuatu keputusan?
Sifat Puspawangi yang yakin bahawa pasti ada muslihat disebalik perlakuan Tun Nila yang mencampur adukkan bahan-bahan di dalam uncangnya tanpa menyangka buruk terhadap Tun Nila,tanpa risau mungkinkah jika aku asingkan bahan-bahan ini akan ada akibat yang buruk terhadapku dan hanya membuang masa dan tenagaku sahaja. Jarang sekali kita lihat sifat seperti ini ada di dalam perempuan-perempuan zaman sekarang. Kebanyakan mereka di zaman sekarang semuanya hanya mahu melihat kepada hasil kerja bukan kepada usaha kerja. Semuanya mahu hasil yang boleh dimanfaatkan pada diri sendiri dan sekiranya tidak tahu apakah hasil usahanya di dalam sesuatu perkara atau yakin yang usahanya hanyalah sia-sia tidak mahu mengotorkan tangan-tangan mereka. Tanpa ingin “mencuba” untuk berusaha. Ingatlah wahai saudari ku sekalian bahawa Allah itu melihat pada usaha-usaha kita bukan pada hasilnya. Kerana itu kita tahu bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Kerana cara kita mencapai matlamat itu penting. Tidak hanya matlamat semata-mata.
Usaha kita ke arah sesuatu yang baik dan ikhlas pastinya diberi ganjaran oleh Allah walaupun matlamat kita tidak tercapai dan walaupun kita tahu matlamat kita takkan tercapai,tetapi kita tetap berusaha selagi mana ianya perkara yang baik yang disukai dan diredhai Allah. Janganlah hanya mahu mengambil jalan mudah dan hanya nak main kira-kira kalau dapat hasilnya maka kita buat kalau hasilnya tidak memuaskan kita tak buat. Sikap seperti inilah yang menjadikan kita betina bukannya seorang perempuan. Sikap tidak mahu berusaha dalam apa jua perkara yang baik dan mudah menyerah. Bersangka baiklah dengan sesiapa pun yang kita jumpa atau kenali. Jangankan hanya kerana seseorang itu fikiran atau sifat atau kelakuannya tidak seperti kita atau mencurigakan dengan mudah kita menghukumnya dan membencinya.
Sama-samalah kita bermuhasabah....
Wallahua’lam...
No comments:
Post a Comment