Thursday, April 30, 2009

Bahayanya Cinta...



Oleh: Wan Atikah Binti Wan Nasir
Sumber: http://www.anjungrahmat.blogspot.com

Karangan Muhammad Ibrahim Al Hamd

“Hatiku berbunga-bunga” itulah ungkapan seorang yang sedang dilanda asmara. Seorang penyair berkata:

Jika anda tidak pernah jatuh cinta dan tidak tahu bagaimana dilamun cinta itu, maka anda tidak akan pernah merasakan indahnya kehidupan itu.1

MUKADIMAH

Penangan manisnya rasa mabuk cinta ini, ramai orang yang tertarik untuk turut merasakannya. Apatah lagi terdapat pelbagai macam anjuran daripada penyokong dan pendorong, baik dari media cetak mahupun media elektronik yang tidak putus-putus dalam mewar-warkan kisah-kisah romantis, perihal cinta dan nyayian-nyayian asmara. Situasi inilah yang menyebabkan sempurnalah tanggapan manusia, bahawa mabuk cinta ini tidak akan membahayakan, tetapi akan mendatangkan kebahagiaan, kegembiraan, dan keindahan.

Benarkah demam cinta asmara itu merupakan sebuah nikmat? Ataukah sebaliknya, siksaan dan azab bagi yang menghidapnya? Hal ini demikian kerana, di sebalik kisah-kisah asmara yang berakhir dengan ‘happy ending’ (kesudahan yang baik/menggembirakan), terdapat banyak juga perihal cinta yang berakhir dengan kesedihan seperti mati dibunuh si kekasih, atau mati bunuh diri dengan meminum racun, hilang ingatan, badan jadi kurus kering, hingga ada yang menjadi lumpuh sama sekali.

Tulisan ini dipetik daripada ayat-ayat berharga daripada ulama Islam yang mengupas bahayanya demam cinta; di mana cinta lebih dikenali dalam bahasa Arab dengan istilah al-isyq.

BAHAYA CINTA (AL-ISYQ)
Mabuk cinta atau al-isyq, adalah jalan yang sangat berbahaya, licin dan menggelincirkan. Banyak yang telah manjadi penghasut manakala korban-korbannya pula begitu banyak.

Orang-orang yang terkena panah asmara ini adalah orang yang paling susah hidupnya, paling hina, paling gelisah dan paling jauh dari Tuhan-Nya.

Syaikul Islam Ibnu Taimiyah berkata:

“Buah dari cinta adalah kurangnya akal dan ilmu, rosaknya agama adalah akhlak, rasa gelisah yang membuat seluruh agama dan dunia yang berlipat ganda. Bukti positif betapa bahayanya penyakit ini, cukup diketahui dengan melihat keadaan umat-umat terdahulu, ataupun mendengar kisah-kisah mereka. Ini lebih baik daripada terus melihat atau mencubanya. Bagi sesiapa yang pernah ditimpa penyakit ini ataupun melihat korban-korbannya, akan dapat mengambil pelajaran. Tidaklah terdapat penyakit cinta, melainkan bahayanya lebih besar dari manfaatnya.”2 Beliau juga berkata: “Para penggemar penyakit cinta (ussyaq as suwar), adalah orang yang paling diazab dengan penyakit ini, dan paling sedikit pahalanya. Seseorang yang tergila-gila dalam mengagumi seseorang dan terpaut hati kepadanya akan menghambakan dirinya kepada orang yang digilainya itu. Ketika itulah terkumpul segala keburukan dan kerosakan yang tidak terhitung kecuali oleh Allah s.w.t.Walaupun dia selamat daripada perbuatan keji yang terbesar, tetapi keterikatan hatinya terhadap orang yang digilainya itu lebih berbahaya pengaruhnya daripada seseorang yang berbuat dosa kemudian bertaubat yang dapat menghilangkan bekas dosa tersebut”

Korban penyakit cinta ini, ibarat orang-orang yang mabuk dan gila, sebagaimana terungkap dalam sebuah syair:

Mereka berkata kepadaku: “Engkau tergila-gila dengan orang yang kau cinta.” Maka segera ku menjawab: “Penyakit cinta lebih hebat daripada apa yang menimpa orang-orang gila.”

Orang yang gila kerana cinta tidak akan dapat sedar selamanya. Adapun orang yang gila biasa, akan sakit kadang-kadang sahaja.3

Ibnu Taimiyah berkata tentang hakikat cinta:

“Cinta (al-isyq) adalah rosaknya ilmu, khayalan dan pengetahuan seseorang. Hal ini demikian kerana, orang yang dilamun cinta akan selalu mengkhayalkan orang yang dicintainya secara berlebihan dan tidak sesuai dengan apa yang ada hingga akhirnya penyakit ini menimpa dirinya. Jika dia mengetahui bahawa mengagumi orang yang dikaguminya dengan sebenarnya, dia tidak akan terjatuh ke dalam lembah cinta, walaupun telah terjadi antara keduanya rasa cinta dan hubungan.”4

Lebih lanjut lagi beliau (Ibnu Taimiyah) menjelaskan. “Demam cinta adalah cinta yang berlebihan, hingga melebihi kadar yang diwajibkan. Jika seseorang terjerumus ke dalam hal ini, dia akan tercela dan rosak. Penyakit ini dapat merosakkan hati dan badan sekaligus.”5

Para ulama, penyair, sasterawan dan orang-orang yang pernah terkena penyakit ini telah banyak mengungkapkan, betapa bahayanya cinta ini. Di antara mereka ada yang berkata: “Jika seorang anak manusia mengharungi lautan cinta (al-isyq) dan dipermainkan oleh derasnya ombak, nescaya peluang kecelakaannya lebih besar daripada keselamatannya”6.

Para ahli dakwah berkata: “Betapa ramai orang yang jatuh cinta (telah) merosakkan harta, martabat, keluarga terdekat, kebaikan agama dan dunia orang yang dicintainya”.7

Ada pula yang mengungkapkan: “Cinta adalah penyakit kronik (tidak sembuh-sembuh) yang akan melemahkan jiwa serta menghilangkan ketenteraman. Penyakit cinta, ibarat lautan berombak yang akan menenggelamkan orang yang menyeberanginya. Penyakit ini adalah lautan tak bertepi, dan tidak ada yang selamat daripadanya”.8

Ungkapan mereka yang lain: “Cinta membuatkan raja menjadi hamba, dan penguasa menjadi jelata”.9

Ketika menerangkan bahaya penyakit cinta terhadap agama seseorang. Al Imam Ibnu Qayyim berkata: “Mabuk cinta yang diharamkan itu akan menjerumuskan seseorang kepada kesyirikan. Ketika seseorang semakin dekat kepada kesyirikan, maka akan semakin jauh daripada keikhlasan. Dan semakin jauh seseorang daripada ikhlas, maka akan semakin hebat demam cinta yang melandanya. Sebaliknya, semakin besar keikhlasan dan tauhid seseorang, maka semakin jauh kemungkinan bahaya penyakit asmara akan menimpanya”.

Oleh sebab itu, tidaklah hairan jika isteri Gabenor Mesir begitu hebat tergila-gila mencintai Yusuf a.s disebabkan kemusyrikannya, dan Yusuf a.s selamat dari penyakit ini kerana keikhlasannya. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Demikianlah, agar kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba kami yang terpilih”.(QS Yusuf:24)

Maksud daripada kekejian dan kemungkaran di sini adalah zina. Seorang yang ikhlas telah menyerahkan cintanya kepada Allah s.w.t, kerana itu Allah s.w.t selamatkan dirinya daripada bencana cinta buta. Sementara seorang musyrik, hatinya selalu bergantung selain Allah s.w.t, cinta dan tauhidnya tidak murni untuk Allah s.w.t. 10

Dalam kesempatan lain beliau (Ibnu Qayyim ) berkata, "Penyakit ini telah memeningkan para doktor untuk mencari ubatnya, dan sangat susah bagi mereka menyembuhkan penyakit ini. Demi Allah, penyakit ini ibarat penyakit kronik dan racun yang mematikan. Jika penyakit ini telah melekat di dalam hati, maka itulah petanda ia susah diselamatkan. Tidaklah bara cinta ini menyala di dalam hati seseorang, melainkan sangat susah baginya untuk menyelamatkan diri daripada nyalaannya."

Ibnu Qayyim menjelaskan pula, ada yang berkata betapa banyak fitnah penyakit cinta ini, telah menyebabkan kepala-kepala manusia dalam keadaan tersungkur ke neraka jahannam. Menghantar mereka kepada siksaan yang pedih dan menuangkan piala-piala berisi air mendidih kepada mereka di neraka.

Betapa banyak penyakit demam cinta mengeluarkan orang-orang yang dikehendaki Allah s.w.t dari ilmu dan agama yang mereka miliki, seperti keluarnya bulu daripada adunan tepung. Dan betapa banyak pula penyakit ini menghilangkan kenikmatan dan menggantikannya dengan kecelakaan”.

Penyakit demam cinta adalah penyakit kronik yang telah menurunkan martabat orang-orang yang dimuliakan ke tempat orang-orang yang paling dihinakan. Seseorang yang sebelumnya dikenal mulia dan berkedudukan, tiba-tiba menjadi orang yang terendah. Penyakit ini mampu menyingkap aurat dan keburukan seseorang, membuat ketakutan, meninggalkan kepedihan, menggantikannya dengan penyesalan.

Sungguh tak terhingga menyala api penyesalan yang ditimbulkan penyakit ini. Betapa banyak rasa hormat manusia kepada seseorang yang sebelumnya memiliki tempat di sisi Allah s.w.t dan di hadapan manusia, hilang lenyap kerananya. Betapa banyak penyakit ini mendatangkan musibah, kesusahan, musuh yang datang menguasai.

Jarang sekali penyakit ini berpisah daripada kenikmatan yang segera lenyap, bala yang tiba-tiba datang, bencana yang menyerang, penyakit ini seolah-olah tidak berpisah dangan penyesalan.

Jika kau tanyakan kepada nikmat “Apa yang menyebabkanmu lenyap?” kepada bencana “Apa yang menyebabkanmu datang menghampiri?” kepada kesedihan dan penderitaan? “Apa yang menyebabkanmu tertarik mendatangiku?” kepada keselamatan, “Apa yang menyebabkanmu menjauh?” kepada aib yang tertutup, “Apa yang menyebabkan dirimu terbuka?” kepada wajah, “Apa yang menghilangkan cahayamu?” kepada kehidupan, “Apa yang membuatmu menjadi kelabu ?” kepada matahari keimanan, “Apa yang menyebabkanmu tidak bersinar?” kepada kehormatan diri, “Apa yang menghinamu?” kepada diri yang dipentingkan setelah dimuliakan, “Apa yang telah mengubahmu?” seluruhnya akan menjawab dengan keadaan mereka seolah berbicara. Kerana mustahil mereka dapat menjawab dengan perkataan. Demi Allah, ini adalah sebahagian daripada keburukan penyakit demam cinta, andai saja mereka berakal. Lihatlah rumah-rumah hancur lebur disebabkan kezaliman mereka. Sesungguhnya pada keajaiban tersebut terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal.11

Pada kesempatan lain, Imam Ibnu Qayyim berkata tentang tipu daya syaitan dalam menjerat manusia. “Dan di antara tipu daya syaitan, iaitu fitnah yang dihembuskannya kepada orang-orang yang sedang dilamun cinta. Demi Allah, hal itu adalah fitnah terbesar, cubaan terbesar yang telah memperbudak jiwa menjadi hamba-hamba selain Penciptanya (Allah). Fitnah yang membelenggu hati untuk dihantar kepada kehinaan oleh para penggemar al-isyq (cinta). Fitnah yang menimbulkan perang terbuka antara penyakit demam cinta dengan tauhid. Fitnah yang menghantar manusia untuk memberi kesetiaannya kepada syaitan.
"
Membuat hati terpenjara dan tunduk kepada segala perintah hawa nafsu. Dengan itu, hawa nafsu semakin menghancurkan hati, memenuhinya dengan fitnah. Kemudian hati menjadi terhalang daripada segala petunjuk, memalingkannya daripada tujuan hakiki, menghantar hati manusia ke pasar, perhambakan dan menjualnya dengan harga yang sangat murah, menggantikan untuknya nasib buruk, keinginan yang rendah daripada tujuan yang tinggi untuk bardiam di bilik-bilik syurga, apalagi untuk mendekati Allah.

Hingga akhirnya hati yang telah tercemar itu penuh dengan penderitaan yang tidak tertanggung. Keinginannya untuk sampai kepada orang yang dicintai menjadi penyebab utama kerosakannya. Tanpa dia sedar, kekasih yang dicintainya tidak lama lagi akan berubah menjadi musuh besarnya. Bahkan si kekasih akan melepaskan diri daripada orang yang tergila-gila kepadanya, seolah-olah dia tidak pernah merasa dicintai. Jika para penggemar penyakit cinta ini ternyata berhasil bersenang-senang dengan pujaan hatinya di kehidupan dunia ini, pasti sebentar lagi dia akan mendapat siksaan yang menyakitkan.

Iaitu ketika si kekasih saling bermusuhan di hari kiamat, kecuali orang-orang yang bertakwa. Allah berfirman yang bermaksud:

“Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang bertakwa” (QS Az Zukhruf:67)

Hingga akhirnya beliau (Imam Ibnu Qayyim ) berkata: "Alangkah ruginya seorang yang menjual dirinya kepada selain kekasih pertama dengan harga yang murah kerana pujukan syahwat. Sementara yang tinggal hanya mudaratnya, kenikmatannya akan berakhir dan lenyap. Syahwatnya kepada orang yang dicintai akan lenyap, sementara kesusahan menantinya. Keseronokan sementara dan penyesalan berpanjangan menghantuinya. Alangkah kasihan hati, yang di dalamnya terkumpul dua penyesalan: penyesalan tidak berjumpa kekasih tertinggi (Allah s.w.t) dan syurga penuh kenikmatan, dan penyesalan disebabkan siksa dan azab berpanjangan."

Ketika itulah orang yang tertipu tadi mengetahui perniagaan berharga yang disia-siakannya. Barulah dia menyedari, orang yang telah merebut hati dan memperbudakkannya, tidak layak walaupun hanya untuk menjadi pelayan.

Musibah mana lagi yang lebih besar daripada seorang raja yang diturunkan dari singgahsana kekuasaannya, kemudian dipenjarakan oleh seseorang yang tidak layak untuk menjadi pengawalnya. Patuh di bawah arahan dan larangannya? Andai saja kau lihat bagaimana diri seseorang di tangan kekasih pujaan hatinya, pasti ibarat kata-kata penyair :

Ibarat burung di tangan seorang anak yang menghantarkannya ke jurang kebinasaan, sementara anak itu bermain-main dan bergurau senda. Jika engkau menyaksikan keadaan orang-orang yang mabuk cinta, nescaya engkau akan berkata: tidak ada di muka bumi yang lebih susah dari seorang yang mabuk cinta. Walau dia mendapati hawa nafsu penuh dengan kenikmatan . Engkau akan melihatnya menangis setiap saat, kerana takut berpisah dan menahan rindu. Dia menangis rindu jika si kekasih jauh darinya. Jika dekat orang dikasihi dia tetap menangis kerana takut berpisah. Jika engkau melihat orang yang mabuk cinta, bagaimana keadaannya ketika tidur dan istirehat, engkau akan mengetahui bahawa cinta dan tidur tidak akan dapat bertemu selamanya. Dan engkau pun akan berkata ketika melihat linangan air matanya dan nafsu jiwanya.

Maha Suci Tuhan pemilik Arasy yang Maha Sempurna ciptaanNya. Pencipta makluk berpasang-pasang tanpa ada pertentangan setitis air yang lahir dari nafsu api di hasya. Air dan api bertemu di satu tempat seandainya engkau mampu melihat jalan cinta yang terlintas di hati, bagaimana denyutnya menggugah seluruh perasaan pemiliknya.

Pasti engkau akan mendapati bahawa cinta lebih lembut jalannya daripada roh dalam badan, namun memiliki pengaruh sangat dahsyat yang tidak terkira.

Apakah layak bagi seseorang menggadaikan seorang raja yang dipatuhi kepada orang yang akan mengiringinya ke dalam azab yang pedih? Dengan itu dia menghalangi hubungan antara dirinya dengan Allah s.w.t, Zat yang selalu diperlukannya? Seorang yang dilamun cinta akan binasa di tangan orang yang di cintainya. Dia akan menjadi hamba yang hina.

Jika si kekasih memanggilnya, dia akan segera memenuhi panggilan tersebut. Jika ditanya padanya. Apa yang engkau harapkan daripadanya? Nescaya kekasih hatinya itulah yang menjadi tumpuan harapannya. Dia tidak akan pernah merasa tenteram dan tenang tanpa dirinya. Selayaknya, dirinya tidak diperhambakan kecuali kepada kekasihnya. Jangan sampai dia menjual dirinya dengan harga yang sangat murah.12

Di antara bahaya penyakit cinta adalah kezaliman. Iaitu seseorang yang sedang tergila-gila kerana cinta, dapat membuat fitnah terhadap orang yang dicintainya, dan membuat manusia berselisih antara orang-orang yang membenarkan cerita tersebut dan orang-orang yang mendustakannya dan kebanyakan manusia cenderung lebih cepat menerima berita-berita yang seperti ini, walaupun kemungkinan benarnya sedikit. Jika tersebar isu “si fulan bermain api asmara dengan si fulanah “ mungkin hanya satu yang menolak kadar seperti ini. Sementara sembilan puluh sembilan orang akan menerimanya dan membenarkannya.13

Kita selalu mendengar seorang yang hanyut dalam asmara mampu menghilangkan nyawa sesiapa sahaja yang menjadi penghalang cintanya. Berapa banyak darah yang tertumpah sia-sia di sebabkan hal ini, baik suami, kaum keluarga, mahupun seorang tuan. Betapa ramai wanita yang rosak hubungannya dengan suaminya. Jika orang yang dicintainya itu memiliki suami, maka kezaliman yang dilakukan terhadap suami tersebut adalah dengan merosakkan kekasihnya. Jika kezaliman itu dalam bentuk mengotori ranjangnya, maka ini dianggap lebih hebat daripada sekadar berbuat kezaliman terhadap seluruh hartanya. Berselindung seperti ini lebih menyakitkan daripada merampas seluruh hartanya. Balasannya tentu tidak akan dapat seimbang kecuali dengan menumpahkan darahnya.

Ketahuilah, hak orang yang dizalimi itu akan tetap dipertanyakan walaupun orang yang menzalimi tersebut adalah seorang pejuang di jalan Allah s.w.t. Kelak akan diberhentikan orang yang berbuat kezaliman itu di hari kiamat seraya berkata kepadanya: “Ambillah kebajikannya”; Sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Rasullullah s.a.w dalam sabda beliau yang bermaksud:

“Bagaimana prasangka kalian?” 14 Maksudnya “Apakah kalian menganggap kebajikannya akan tersia?” Apatah lagi jika yang dizalimi itu adalah seorang jiran ataupun keluarga yang masih ada hubungan darah, maka kezalimannya semakin berlipat ganda, iaitu kezaliman dengan memutuskan silaturrahim dan menyakiti jirannya.

Jika ternyata orang yang gila cinta ini, meminta bantuan kepada syaitan-syaitan agar dapat menundukkan orang yang dicintainya, baik dengan perantara sihir ataupan bomoh dan sebagainya, maka akan berkumpullah kezaliman tersebut dangan kesyirikan dan kekufuran disebabkan sihir, walaupun bukan dia yang melakukannya, tetapi jika dia rela, maka dianggap kerelaan itu sebagai kekafiran.

Jika dia tidak merasa keberatan dengan perbuatan itu demi mencapai tujuannya. Hal begini tidak begitu jauh dengan kekufuran juga. Bantu-membantu dalam masalah ini adalah bantu-membantu dalam berbuat dosa dan melanggar batasan Allah s.w.t.

Dalam cinta, tiap-tiap orang yang mencintai dan dicintai saling menzalimi satu sama lainnya, kerana saling berkerjasama untuk berbuat kekejian dan menzalimi diri sendiri. Dan kezaliman keduanya akan meluas kepada selain mereka berdua, sebagaimana telah disebutkan sebelumnya.

Kemudian tidak jarang orang yang dicintai merosakkan diri orang yang tergila-gila padanya, iaitu dengan berhias di hadapannya, merayu-rayu dengan segala cara, hingga memperoleh harta dan manfaat lainnya. Tidak mustahil, terkadang orang yang terpikat ini membunuh orang yang dicintainya, untuk membalas dendam dan mententeramkan jiwanya. Terlebih lagi dia mendengar orang yang dicintainya berhubungan dengan orang lain.

Berapa banyak korban yang terbunuh dari kedua belah pihak disebabkan cinta. Kenikmatan hilang, kekayaan berubah menjadi miskin, reputasi yang tinggi jatuh dan keluarga yang bersatu menjadi becerai-berai. Betapa banyak penyakit ini merosakkan keharmonian isteri dan anak-anaknya. Jika seorang wanita melihat suaminya tergila-gila kepada yang lain, boleh jadi dia juga berbuat hal yang sama, memiliki lelaki simpanan pula. Akhirnya si suami buntu menanti kehancuran rumah tangganya dengan menjatuhkan talak atau membiarkan saja isterinya berhubungan dengan lelaki lain.15

Berkata Ibnu Hamz, “Berapa banyak orang yang terpelihara aibnya, tertutup hijabnya, namun nafsu asmara berjaya menyingkap tabirnya, dan menghalalkan harimnya (pergaulan yang melewati batasnya). Hingga dia berubah menjadi buah mulut (cemuhan orang) setelah sebelumnya terpelihara aibnya”.16

Bahaya lain daripada penyakit cinta, iaitu terjadi perzinaan, jika yang di gilakannya seorang wanita. Atau terjadilah perbuatan homoseksual, jika yang dicintainya lelaki. Cinta adalah jalan menuju kedua perbuatan ini. Penyakit ini selalu beriringan dengan dua perbuatan keji yang cukup dahsyat ini, yang seluruh orang sepakat menyatakan betapa bahayanya hal ini terhadap akal manusia, harta, akhlak dan keselamatannya.

Berkata Ibnu Qayyim ketika membincangkan tentang dua perbuatan keji ini: “Tidak ada dosa yang lebih merosak hati dan agama daripada kedua kekejian ini. Jika telah bersarang di hati, maka hati akan menjauh daripada Zat yang Maha Baik. Sebab tidak akan naik kepada Allah s.w.t, kecuali kebaikan. Semakin keji hati tersebut, maka akan semakin jauh daripada Allah s.w.t.”17

PENUTUP

Setelah membaca petikan para doktor hati di atas, maka jelas bagi kita, mabuk cinta, dilamun cinta ataupun al-isyq itu adalah azab dan bukan nikmat. Semoga Allah s.w.t menjauhkan kita dari musibah terbesar yang dapat menghancurkan agama dan dunia ini. Amin .

NOTA

1.Al Jawabul Kafi, halaman:509
2.Al Istiqamah,karya Ibnu Taimiyyah,1/459
3.Al Ubudiyyah, karya Ibnu Taimiyyah,
halaman:97-98
4.Jami’ Ar Rasail, karya Ibnu Taimiyyah,2/243-244
5.Jami’ Ar Rasail, 2/242
6.Raudhatul Muhibbin, halaman:196
7.Raudhatul Muhibbin, halaman:197
8.Raudhatul Muhibbin, halaman:197-198
9.Ibid
10.Ighatasul Lahfan, karya Ibnu Qayyim, halaman:513
11.Raudhatul Muhibbin, halaman:202
12.Ighatsatul Lahfan, halaman:494-496.Lihat juga Al Jawabul Kafi, halaman:494-499
13.Al Jawabul Kafi, halaman:500
14.Diriwayatkan oleh Imam Muslim(1897)
15.Al Jawabul Kafi, dengan sedikit perubahan gaya penyusunan kata dan ayat, halaman:500-506
16.Thauqul Hamamah,karya Ibnu Al Hamz,halaman:39
17.Ighatsatul Lahfan, halaman:71

No comments: