Kesibukan kehidupan sepasang suami dan isteri yang hidup di kota metropolitan ini sedikit sebanyak mempengaruhi hubungan kasih sayang mereka. Isteri merasakan suami sudah tidak sayang,suami pula merasa layanan isteri semakin hari semakin dingin. Mungkin, suami sibuk dengan kerjayanya,sibuk meguruskan rumahtangga agar isteri dan anak-anak dapat hidup selesa di kota yang penuh sesak ini. Dan mungkin juga isteri sibuk menguruskan anak-anak dan kerja-kerja rumahtangga yang pasti tiada hentinya. Masing-masing sibuk dengan kerja masing-masing, sehingga akhirnya walau jasad mereka dekat di mata tapi mereka merasa jauh sekali di hati.
Di manakah silapnya? Suamikah yang terlalu sibuk bekerja? Atau isterikah yang tidak pandai melayan suami? Hati semakin jauh ,cinta semakin pudar,kemesraan kasih sayang sudah tidak terasa lagi. Kemanakah sudahnya perkahwinan kita ini abang? Berpisahkah kita? Atau meneruskan sandiwara suami isteri yang tiada maknanya ini? Abang,sudah tidak sayangkah?
Mungkin inilah yang dihadapi rata-rata pasangan suami isteri hari ini. Isteri merasa sedih,berjauh hati dari suami. Suami pula sudah tidak peka lagi perasaan isteri.
Kadangkala saya terfikir,siapakah yang bersalah dalam hal ini? Suamikah? Atau isterikah? Saya bertanya pada suami akan hal ini. Mengapa ramai pasangan merasa (terutama isteri) selalu mengadu dan merasa suami sudah tidak sayang lagi? Benarkah suami sudah tidak sayang?
Ternyata jawapan yang diberikan oleh suami saya sangat terpukul di hati dan patut sekali saya rasakan untuk dikongsi. Katanya, bukanlah cinta dan kasih sayang suami itu hilang,tetapi isterilah yang selalu berburuk sangka pada suami merasa suami sudah tidak sayang lagi. Mengapa isteri merasa begitu? Mungkin kemesraan yang dirasakan isteri seperti di awal perkahwinan sudah tidak semanis sekarang. Mengapa begitu?
Ingatlah bahawa diantara suami dan isteri itu terdapat syaitan-syaitan baik yang berupa manusia ataupun jin yang kerjanya hanyalah untuk suami dan isteri bergaduh,dan apa yang mereka inginkan adalah untuk suami dan isteri itu berpisah. Maka akan bergembiralah syaitan jin dan syaitan manusia apabila perceraian terjadi. Kerana itu kebiasaannya isteri (kerana mereka makhluk yang halus dan mudah digoda perasaannnya) akan merasa ragu-ragu akan cinta suami,merasa suami sudah tidak mesra lagi,merasa suami sudah tidak sayang lagi. Dan ingatlah wahai saudari muslimahku apabila keraguan atau buruk sangka terhadap suami itu datang ketahuilah bahawa engkau sedang dihasut syaitan. Dihasut untuk menjauhi suami,dihasut untuk tidak memberikan layanan yang baik pada suami dengan anggapan bahawa suamiku sudah tidak sayang lagi.
Apabila ianya terjadi pada diri kita,apa yang harus kita lakukan? Bacalah istiazah(meminta perlindungan dari Allah dari godaan syaitan) ,sekiiranya perlu maka berwuduklah. Dan sentiasa ingatkan diri kita akan semua nikmat yang telah allah berikan kepada kita,kebaikan-kebaikan yang suami telah lakukan kepada kita dan bersyukurlah akan nikmat itu semua. Nescaya hati akan merasa tenang. Janganlah seorang isteri itu terlalu mengharap agar suaminyalah yang membelainya,mencintainya,melayaninya dengan penuh mesra,sebaliknya kitalah yang harus berbuat demikian. Biarlah Nampak seperti suami dingin,tapi jangan berputus asa dari mencintai suami sebagaimana suami tidak berputus asa dengan kita,kerana andai suami sudah berputus asa dengan kita nescaya suami akan menceraikan kita dan bersyukurlah kerana hal itu masih belum terjadi. Dan janganlah mengharapkan ianya terjadi. Binalah semula kasih sayang dan cinta yang pernah membara suatu ketika dahulu,hidupkanlah semula api cinta itu.
Andai suami tidak menyatakan cinta,kitalah yang menyatakannya. Andai suami tidak memeluk atau mencium kita maka kitalah yang berbuat demikian. Jangan mengahrap suami tapi kitalah yang harus memulakannya. Tidak mengapa jika pada awalnya suami tidak membalas,jangan putus asa teruskan sehingga suami semakin sayang dan kalian akan dapati cinta itu masih membara lagi ! ;)